Februari 2024 ni dah masuk usia ke-5 tahun ITQAN. Jadi hari ni saya nak coretkan sedikit sejarah penubuhan ITQAN sebagai catatan memori. Sekadar untuk pengetahuan mereka yang akan meneruskan perjuangan memperkasakan anak-anak Sindrom Down di Terengganu ini di masa akan datang. Besar harapan saya untuk ITQAN terus 'hidup' sampai bila-bila walaupun mungkin satu hari nanti saya bukan lagi menjadi 'nadi utama' dalam ITQAN.

Sejujurnya, secara peribadi saya telah anggap ITQAN seperti 'baby' yang saya lahirkan walaupun bukanlah saya seorang saja yang bersemangat dengan penubuhan ITQAN ini. Memegang amanah sebagai Setiausaha bagi Jawatankuasa Penaja pada awal penubuhan ITQAN, membuatkan hati saya sangat terpaut dengan kewujudannya. Ya. Saya sangat sayangkan ITQAN sepenuh hati saya.

Jadi, inilah kisah di sebalik tertubuhnya Persatuan Anak Istimewa Sindrom Down ITQAN Terengganu. 



9 NOVEMBER 2018

Di sinilah titik bermulanya 'kelahiran' ITQAN. Perjumpaan pertama ibubapa dalam group whatsapp Parents Support Group Sindrom Down Terengganu (kini dengan nama Keluarga Sindrom Down Terengganu) bersama presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Puan Hanizan.

Beliau sangat teruja menggalakkan ibubapa anak-anak Sindrom Down di Terengganu yang hadir dalam perjumpaan ini untuk kembali bergiat aktif dalam Persatuan. Mencadangkan untuk ditubuhkan persatuan yang baharu menggantikan persatuan lama (Persatuan Sindrom Down Terengganu, PSDT) yang telah lama terkubur.

Waktu ini lah Jawatankuasa Penaja ditubuhkan bagi menggerakkan persatuan baharu (ITQAN) dan saya telah dilantik sebagai Setiausaha. Berbekalkan pengalaman pernah memegang jawatan Setiausaha Persatuan Belia semasa zaman remaja dulu dan bekerja di Pesatuan Alumni USM selepas habis belajar, saya sahut 'amanah' yang diberikan dengan besar hati.



13 JANUARI 2019

Setelah beberapa siri perjumpaan dan perbincangan dengan Jawatankuasa Penaja yang lain, saya yang bertanggungjawab untuk mendaftarkan ITQAN dengan pihak ROS terus memulakan 'langkah pertama' mengisi segala maklumat yang diperlukan di dalam sistem. 




19 FEBRUARI 2019

Kenapa saya kata ITQAN sebagai 'baby' saya? Kerana saya bukan saja berkorban dari segi kewangan malah masa dan tenaga juga. Saya yang menetap di Kuala Berang, sanggup turun ke Kuala Terengganu menjejakkan kaki di Pejabat ROS bagi menyelesaikan urusan pendaftaran ITQAN.

Selepas je urusan di sini selesai, maka secara rasmi ITQAN 'hidup' pada 24 Februari 2019.
Alhamdulillah.





4 MAC 2019

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Penaja secara rasmi selepas tertubuhnya ITQAN.
Masa ni kami berbincang tentang program pertama untuk sambutan Hari Sindrom Down peringkat Negeri Terengganu sekaligus untuk mewar-warkan kewujudan ITQAN kepada ibubapa anak-anak Sindrom Down di Terengganu.



20 MAC 2019

Program Santai Bersama ITQAN dan Sambutan Hari Sindrom Down yang dihadiri oleh ibubapa anak-anak Sindrom Down dari seluruh Terengganu. Program yang sangat memberikan kenangan indah kepada saya kerana di sinilah saya dapat berkenalan secara bertemu mata dengan lebih ramai ibubapa yang memiliki 'permata istimewa' seperti saya juga.




Inilah barisan Jawatankuasa Penaja di awal penubuhan ITQAN yang banyak berkorban kewangan, masa dan tenaga. Saya sangat salute pada mereka kerana mereka lebih senior dan ada antaranya merupakan orang kuat persatuan lama (PSDT). Dari mereka jugalah saya 'mengutip' semangat untuk berjuang daftarkan ITQAN. 



Begitulah sejarah di sebalik penubuhan ITQAN. Kini saya masih menjadi 'nadi utama' dengan memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha. Dan saya juga bertanggungjawab menjaga media sosial dan blog ITQAN ini. InsyaAllah selagi masih diizinkan dan dipanjangkan usia, saya akan terus bersama ITQAN walaupun mungkin dah tak jadi 'nadi utama' lagi. 

Selamat Ulangtahun ke-5 buat ITQAN. Semoga terus maju dan siapapun yang menerajui ITQAN akan kekal bersemangat memperkasakan anak-anak Sindrom Down di negeri Terengganu. InsyaAllah.


Salam sayang, 
Shahada Fauzi